Program Ziarah Kasih MADANI, Menteri Dalam Negeri santuni Taska Warisan De’ Qaseh

PUTRAJAYA, 9 Disember – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengadakan program Ziarah Kasih Madani ke Taska Warisan De’ Qaseh di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini pada Selasa.

Lawatan turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Fakhrul Razi Ab Wahab, serta Ketua Pengarah JPN, Dato’ Badrul Hisham Alias.

Program berkenaan bukan sekadar kunjungan rasmi, sebaliknya mencerminkan keprihatinan Menteri Dalam Negeri terhadap kebajikan anak-anak warga KDN, selain meninjau sendiri persekitaran asuhan yang menjadi sokongan penting kepada ibu bapa yang berkhidmat di jabatan-jabatan bawah kementerian itu.

Inisiatif Ziarah Kasih MADANI merupakan amalan berterusan beliau, selepas kunjungan terdahulu ke Taska KDN dan Taska Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Taska Warisan De’ Qaseh yang beroperasi di bangunan JPN menyediakan perkhidmatan penjagaan untuk bayi hingga kanak-kanak berusia empat tahun, dibantu lapan guru terlatih.

Seramai 45 kanak-kanak berada di bawah jagaan taska itu, terdiri daripada anak warga JPN dan kakitangan awam di sekitar Putrajaya.

Kehadiran Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menceriakan kanak-kanak di taska berkenaan selain memberi motivasi kepada para petugas serta ibu bapa.

Program tersebut sekali gus mengukuhkan komitmen JPN dan KDN dalam menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang selamat, teratur dan mesra keluarga demi kesejahteraan warga kerja.