KANGAR, 14 Disember – Usaha berterusan digerakkan pelbagai pihak bagi memberi kesedaran kepada pelajar mengenai proses demokrasi Malaysia termasuk proses pengundian pada usia 18 tahun.
Ini termasuklah Program Rakan Demokrasi Suara 18 yang disertai seramai 110 peserta terdiri pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi dan sukarelawan bersempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2025.
Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Mohd Jeffry Hassan menerusi kenyataan berkata, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan literasi demokrasi serta kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda agar lebih bersedia menjadi pengundi bertanggungjawab pada masa hadapan.
Selain itu, program yang dilaksanakan itu juga bagi menyatupadukan belia dalam aktiviti sukarelawan dengan penglibatan secara aktif bersama komuniti.
Penyertaan pelajar dan belia dalam program seumpamanya mampu membuka minda mengenai proses sebenar ketika pilihan raya serta penglibatan dalam aktiviti sukarelawan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Program anjuran Majlis Belia Negeri Perlis bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Perlis berlangsung di SMK Abi.
Ia berjalan dengan lancar dan menerima penyertaan aktif daripada para peserta yang menunjukkan minat mendalam terhadap proses demokrasi negara ini akan diteruskan secara berkala.

