Program ‘Kasih Syariah’ santuni komuniti Putrajaya

PUTRAJAYA, 13 Disember – Hampir 100 warga kumpulan pelaksana Syariah turun padang menyantuni komuniti setempat di Presint 9, di sini menerusi Program Khidmat dan Amal Sosial Syariah (Kasih Syariah).

Presiden Persatuan Ikatan Kumpulan Sokongan Syariah Malaysia (IKSYAM), Anas Jamaluddin berkata inisiatif itu menzahirkan nilai kasih sayang, empati serta tanggungjawab sosial Islam dalam penyampaian perkhidmatan Syariah, selaras dengan peranan mereka sebagai agen dakwah, kesejahteraan dan kebajikan masyarakat.

Menurut beliau, pelbagai pengisian dirangka bagi mendekatkan masyarakat awam dengan sistem dan perundangan Syariah.

“Program ini merangkumi ceramah berkaitan perundangan Syariah dan kekeluargaan. Kita juga mengadakan brisk walk bersama Yang Amat Arif Datuk Ketua Hakim Syariah Malaysia.

“Selain itu, kita membuka reruai atau booth melibatkan jabatan guaman bagi memberi pendedahan serta khidmat nasihat kepada orang awam yang memerlukan bantuan guaman atau maklumat berkaitan perundangan Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.

Dalam majlis sama, turut disampaikan sumbangan khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berjumlah RM5,000 kepada masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain.

Sementara itu, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyumbangkan Bakul Rezeki Kasih Syariah bernilai RM100 setiap satu kepada 100 penerima, merangkumi pelajar sekolah serta golongan asnaf dalam komuniti setempat.

Program yang berlangsung di Surau Al-Muhajirin itu dirancang untuk diperhebatkan pada masa akan datang sebagai usaha memantapkan fungsi institusi Syariah, memperkukuh khidmat sosial serta meluaskan manfaat kepada masyarakat di seluruh negara.