PPTM 2026–2035 dilancar Januari depan

PUTRAJAYA, 10 Disember – Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 akan dilancar Januari tahun hadapan sebagai hala tuju baharu memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pelan itu dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 8,226 pemegang taruh merangkumi institusi pendidikan awam dan swasta, industri, agensi kerajaan serta wakil masyarakat dari seluruh negara.

“Pelan ini akan menjadi sebuah ‘living document’ yang bersifat dinamik, bukan statik, dan akan disemak serta diperkemas secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan semasa dan perubahan yang berlaku di peringkat negara mahupun global,” katanya.

PPTM turut menekankan nilai kemanusiaan sebagai teras strategi, memastikan pembangunan teknologi bergerak seiring pembinaan moral, etika dan integriti bagi melahirkan pembina negara berakhlak dan berdaya tahan.

Selari ledakan teknologi, kecerdasan buatan (AI) diangkat sebagai pemboleh daya utama melalui pembangunan kurikulum berasaskan AI, pengukuhan penyelidikan serta peningkatan bakat profesional tempatan.

“Penekanan turut diberikan kepada pembangunan kurikulum dan program akademik berasaskan AI, penyelidikan dan inovasi dalam bidang tersebut, penyediaan bakat serta profesional tempatan, selain integrasi teknologi AI dalam pengajaran,” tambahnya.

PPTM juga memperluas akses pendidikan tinggi, khususnya kepada lepasan STPM dan Matrikulasi, melalui laluan kemasukan fleksibel dan program berimpak tinggi agar tiada bakat terpinggir.

Selain itu, pelan berkenaan turut memperkukuh kemahiran ‘multilingual’ dan kompetensi global dengan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, di samping memantapkan Bahasa Inggeris serta memperluas penawaran bahasa lain.

Dengan strategi menyeluruh ini, PPTM dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan pusat inovasi masa hadapan.

“PPTM 2026-2035 merupakan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi Malaysia yang berpaksikan kemanusiaan, dipacu matlamat serta berilmu, berdaya tahan, berakhlak, berdaya cipta dan siap siaga menghadapi masa hadapan dalam dunia yang terus berubah. Kerajaan MADANI turut menegaskan bahawa pelan ini akan dilaksanakan secara berfasa, tersusun dan inklusif,” jelasnya.