Polis pantau media sosial, kenal pasti sentimen ekstrem sebelum perhimpunan

KUALA LUMPUR, 17 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan risikan termasuk pemantauan media sosial bagi mengesan lebih awal perancangan ekstrem yang cuba mengambil kesempatan terhadap sentimen rakyat sebelum perhimpunan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata polis turut menjalin kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol).

“Risikan sangat penting bagi mengesan perancangan ekstrem yang cuba mengambil kesempatan terhadap sentimen rakyat.

“Pendekatan utama dalam mengesan perancangan awal ialah mengenal pasti sentimen yang muncul berdasarkan isu di platform media sosial atau perkara yang menjadi topik perbualan hangat masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah kerajaan menangani ruang eksploitasi sentimen rakyat sebelum perhimpunan diadakan.

Menurut Shamsul, sentimen yang sering dimanipulasi termasuk dakwaan tindakan penguatkuasaan “double standard” serta isu lain yang digunakan untuk mencetuskan provokasi semasa perhimpunan.

Dalam menangani persepsi sedemikian, katanya, kerajaan melaksanakan kolaboratif strategik antara kementerian dan agensi penguat kuasa, selain memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta elemen pendidikan dan keagamaan.

Beliau menegaskan kerajaan menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun, namun aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan bagi memastikan perhimpunan tidak disalah guna sehingga mengancam ketenteraman awam.