PUTRAJAYA, 26 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan penuh terhadap pelaksanaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang kini sedang berlangsung.
Datuk Seri Anwar menegaskan, misi itu perlu diteruskan agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera kepada rakyat Palestin yang terus berdepan penderitaan akibat serangan berterusan rejim Israel.
“Kita masih mengharapkan misi Global Sumud Flotilla ini diteruskan. Kezaliman dan keganasan Israel mesti dihentikan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Kebangsaan di sini, hari ini.
Konvoi GSF yang disertai 34 sukarelawan dilaporkan bakal memasuki zon kuning pada bila-bila masa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
Menurut portal berita New Arab pada Khamis, beberapa negara memberi amaran kepada rakyat mereka yang menyertai misi berkenaan berikutan risiko besar yang dihadapi, termasuk kemungkinan berdepan serangan tentera Israel.
Serangan berterusan rejim Zionis di Gaza menyebabkan sukarelawan misi itu terdedah kepada ancaman pada bila-bila masa.

