KOTA KINABALU, 15 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tengah hari pada Sabtu untuk memulakan lawatan dua hari ke Sabah.
- Disambut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan pegawai Kerajaan Persekutuan serta negeri.
- Hadiri Dialog Anak Muda di ITCC Penampang dan Program Ziarah Kasih di Kampung Duvanson, Putatan.
- Lawat mangsa kebakaran Kampung Petagas sebelum ceramah dan makan malam bersama komuniti Cina Kota Kinabalu.
- Jadual Ahad: program ramah mesra dengan pimpinan masyarakat DUN Tulid dan DUN Melalap.
Ketibaan Datuk Seri Anwar disambut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta barisan pegawai Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Perdana Menteri dijadual menghadiri Dialog Anak Muda di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang, sebelum menghadiri Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas di Kampung Duvanson, Putatan.
Datuk Seri Anwar turut dijadual melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas pada petang sebelum menghadiri ceramah perdana dan makan malam bersama masyarakat Cina Kota Kinabalu di Kampung Padang.
Seterusnya, menghadiri Ceramah Perdana PM Sayang Sabah DUN Petagas pada sebelah malam diikuti ceramah sama di DUN Inanam di tapak letak kereta Inanam New Township.
Pada Ahad, Perdana Menteri dijadual mengadakan Program Ramah Mesra bersama pimpinan masyarakat DUN Tulid pada sebelah pagi di Padang Kampung Menawo Ulu, Tulid, Keningau dan Program Ramah Mesra di DUN Melalap pada pukul 12.20 tengah hari.

