PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti akhir tahun

KUALA LUMPUR, 17 Disember – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik mencecah 2.2 juta kenderaan sehari di lebuh raya kendaliannya terutama hari puncak pada 19 hingga 27 Disember termasuk 2 Januari depan sempena cuti persekolahan akhir tahun, perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2026.

PLUS menerusi kenyataan memaklumkan, ‘Smart Lane’ akan diaktifkan di 30 lokasi tumpuan trafik bagi membantu aliran trafik di lebuh raya sempena musim percutian dan perayaan kali ini.

Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA untuk memilih waktu perjalanan paling optimum di lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang tersedia di aplikasi PLUS bagi perjalanan antara 19 Disember hingga 4 Januari akan datang.

“Pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan lebih awal menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi memastikan kelancaran pergerakan di lebuh raya.

“Dengan penambahbaikan terbaharu, jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA boleh diakses bukan sahaja pada musim perayaan, malah pada hari puncak terpilih,” menurut kenyataan itu.

PLUS memaklumkan, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, mengikuti aplikasi X@plustrafik dan aplikasi X@lpt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line 1800-88-0220 yang beroperasi 24 jam sehari untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.