Platfrom internet, media sosial lebih 8 juta pengguna dianggap berdaftar mulai 1 Januari 2026

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bermula 1 Januari 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memamklumkan pelaksanaan itu melalui ‘Peruntukan Deeming’ bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih teratur tanpa formaliti pendaftaran yang rumit.

“Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan itu.

MCMC memberi jaminan bahawa operasi platform global itu akan berfungsi seperti biasa demi manfaat pengguna di Malaysia.