Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perjelas perbezaan pemberi maklumat dan penjenayah

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bakal dibentang di Dewan Rakyat tahun depan, bertujuan memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen serta penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang itu.

Ketika menjelaskan ke pengetahuan Dewan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pindaan berkenaan penting bagi menutup kelompongan disalah guna, khususnya perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Namun, perlindungan berkenaan tidak wajar diberi secara membuta tuli sehingga menjadikan penjenayah atau perasuah diangkat menjadi ‘wira’ semata-mata kerana telah membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.

“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama pemberi maklumat. Ini merupakan dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,”jelas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar turut memberi jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat termasuk aspek keselamatan serta keluarga mereka.