KUALA PILAH, 30 November – Pesta Bola Ngoca (PBN) 2025 anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dan Pejabat Daerah Kuala Pilah berjaya menarik 30,000 penyertaan sepanjang dua hari penganjurannya yang berakhir hari ini (Ahad).
Pelbagai aktiviti unik dianjurkan bagi memeriahkan pesta tersebut, termasuk bola sepak sawah, titi hayun, imbang balak, basikal titi dan baling tin, sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Tinjauan kru RTM mendapati rata-rata peserta teruja menyertai program berkenaan yang turut disertai peserta antarabangsa.
Ini sekali gus mencerminkan semangat Masyarakat Madani yang ingin dipupuk dalam kalangan rakyat.
Seorang peniaga, Kashif Ahmad Abdul Halim, menyifatkan penyertaannya dalam program berkenaan sebagai menyeronokkan dan berhasrat untuk terus menyokong penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.
“Pertama kali kita sertai dan memang seronok. Insya-Allah kita akan sertai lagi. Kerajaan negeri pun bagus… kita sokonglah program awam macam ni. Setakat ini semuanya baik”, ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pelajar di salah sebuah Institut Pengajian Tempatan di ibu negara, Melia Sabidang menyifatkan pengalaman beraksi dalam lumpur sebagai sesuatu yang baharu dan menyeronokkan.
“Ini pengalaman baru bermain bola dalam lumpur. Saya rasa bagus sebab dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk Negeri Sembilan dan peserta lain. Permainan ini pun terbuka untuk semua”, jelas Melia.
Seorang lagi peniaga, Mohd Talha Osman Ali, turut memuji usaha menganjurkan program riadah berimpak tinggi seperti ini.
“Alhamdulillah dapat peluang untuk sertai. Kalau ada lagi tahun depan, kita akan sertai lagi. Kalau negeri lain buat, kita pun nak sertai juga.
“Kami yang berketurunan Pakistan rasa program macam ini sangat bagus… orang ramai boleh berkumpul waktu cuti, bersukan dan sihatkan badan. Memang satu aktiviti yang baik”, jelasnya.
Bagi pekerja swasta, Khairun Naim Md Salim, program seperti ini wajar diperluas ke seluruh negara.
“Program macam ni memang digalakkan dianjurkan di setiap negeri, bukan hanya di Negeri Sembilan kerana ia mengumpulkan masyarakat majmuk. Banyak kebaikan sebenarnya.”

