Peruntukan bayaran balik cukai kepada RM4 Bilion legakan tekanan peniaga kecil

GELUGOR, 9 Disember – Langkah Kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai kepada RM4 bilion dilihat sebagai satu strategi penting yang selari dengan kerangka ekonomi MADANI dalam memperkukuh ekonomi domestik.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menyifatkannya sebagai langkah kritikal bagi mengurangkan tekanan kewangan dalam kalangan peniaga.

Beliau berkata, langkah tersebut berupaya meningkatkan pusingan modal, khususnya kepada peniaga kecil yang berdepan tekanan akibat inflasi dan peningkatan kos input.

“Langkah ini mampu membantu peniaga kecil, terutamanya melalui pulangan tunai yang dapat menyokong perbelanjaan dan pusingan modal mereka. Sebelum ini, ramai peniaga berdepan tekanan akibat keadaan inflasi serta peningkatan kos input, dan inisiatif ini dapat membantu menampung keperluan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan keupayaan kewangan peniaga akan menggalakkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi domestik secara menyeluruh.

Dr. Abdul Rais turut menegaskan tindakan itu mencerminkan keseimbangan fiskal Kerajaan, apabila usaha mengurangkan defisit fiskal diteruskan tanpa membebankan perniagaan kecil.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan PELITA, Mohamed Nasir Mohideen, turut menyambut baik pengumuman berkenaan, namun menekankan keperluan pelaksanaan yang pantas.

Beliau berkata ramai peniaga telah lama menunggu bayaran balik cukai yang tertangguh akibat kelewatan sebelum ini.

“Bayaran balik ini perlu dipercepatkan kerana semua peniaga sedang menunggu. Sebelum ini, proses pembayaran memang mengambil masa yang lama, dan saya berharap selepas pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, perkara ini dapat dilaksanakan dengan segera supaya bayaran balik kepada semua pembayar cukai dapat diselaraskan,” katanya.