Pertukaran lokasi Majlis Graduasi SADA atas faktor keselamatan

SINTOK, 13 Disember – Universiti Utara Malaysia (UUM) menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya penggunaan dewan bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) dibatalkan pada saat akhir.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihak pengurusan UUM telah membuat keputusan pada 1 Disember lalu bahawa Dewan Mu’adzam Shah tidak boleh digunakan bagi sebarang penganjuran program berskala besar buat sementara waktu.
 
Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan keselamatan mendapati berlakunya kerosakan pada struktur bumbung dewan akibat hujan lebat sebelum tarikh berkenaan.
 
Perubahan lokasi tersebut bukan dibuat dua hari sebelum program yang dilaksanakan pada 11 Disember lalu seperti didakwa pihak-pihak tertentu.
 
Ia selaras dengan notis edaran melalui emel pada 7 Mac 2025 kepada semua staf UUM bahawa Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman terlibat dengan pelaksanaan projek menaiktaraf dan membaik pulih membabitkan penggantian bumbung dan pembaikan infrastruktur mulai 14 Mei 2025 hingga 14 November 2027. 
 
Kerja-kerja tersebut hanya ditangguhkan sementara untuk memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu.

“Sebagai sebuah institusi awam yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan pengunjung, UUM bertanggungjawab memastikan semua fasiliti berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.

“Dalam perkara ini, keselamatan dan keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis tersebut menjadi keutamaan kami. Oleh itu, penggunaan Dewan Mu’adzam Shah tidak dapat dipertimbangkan bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya kepada RTM.

Prof. Dr. Ahmad Martadha berkata, walaupun berlaku pertukaran lokasi majlis, pihak UUM tetap memberikan sokongan penuh kepada penganjuran program tersebut.
 
UUM telah membantu dengan mencadangkan dewan di EDC Hotel sebagai alternatif selain menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi, serta pelbagai kemudahan lain yang mampu memastikan kelancaran majlis berkenaan.
 
“Kita telah melakukan yang terbaik untuk membantu dan pihak UUM juga telah pun menawarkan pelbagai khidmat bantuan dan pertolongan termasuk uni filem, bantuan daripada agensi ataupun pusat tanggungjawab (PTJ) dalam UUM bagi melancarkan majlis graduasi tersebut.

“Jadi itulah sebenarnya yang kita ingin maklumkan bahawa pihak UUM telah mengambil Tindakan sepatutnya bagi memastikan kelancaran program graduasi tersebut,” katanya.
 
UUM menghargai hubungan baik dengan SADA dan sentiasa bersedia bekerjasama dalam program-program melibatkan masyarakat serta rakan strategik. 
 
UUM juga sedia mengadakan perjumpaan bersama pengurusan SADA bagi memperbetul dan menjernihkan keadaan.
 
Khamis lalu, Datuk Seri Muhammad Sanusi dilaporkan kesal dengan pihak pengurusan UUM yang didakwa membatalkan penggunaan dewan bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada saat akhir berpunca daripada perbezaan fahaman politik.