BANDARAYA MELAKA, 16 September- Persiapan bagi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) di Melaka kini mencapai 90 peratus.
Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri sedang menyelaras atur cara kedua-dua program berkenaan bagi memastikan kelancaran sepanjang penganjuran.
Katanya, kejayaan pelaksanaan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 pada 8 hingga 12 September lalu turut menjadi simulasi awal sebelum berdepan dua acara besar tersebut.
“Antaranya kita akan mempersembahkan kebudayaan kesenian yang terdapat di Malaysia, termasuk himpunan seribu penari zapin pada malam pelancaran Tahun Melawat Malaysia. Selain itu, persembahan pelancongan akan diperkaya dengan paparan seribu dron sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Melaka 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2025 di Stadthuys, di sini, malam tadi.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut menyasarkan beberapa rekod baharu untuk dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena penganjuran WTD dan WTC itu.

