Perodua lancar EV pertama hujung bulan ini

RAWANG, 11 November -Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya pada hujung bulan ini, sekali gus menandakan pencapaian baharu dalam industri automotif negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran EV pertama Perodua disifatkan sebagai agenda nasional untuk sokong peralihan tenaga hijau.
  • Model berkonsep Madani: mesra alam, mampu milik dan dihasilkan sepenuhnya dalam negara.
  • Pengeluaran EV tempatan dijangka pacu pertumbuhan ekonomi dan aktiviti eksport.
  • Tumpuan pada R&D, reskilling, upskilling dan penerapan AI selaras transformasi digital negara.
  • Perodua terus mengekalkan harga berpatutan sambil menampilkan kualiti dan tadbir urus baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancaran itu akan dijadikan agenda nasional, seiring usaha memperkukuh keupayaan industri automotif tempatan dalam era peralihan tenaga hijau.

“Model ini berkonsepkan Madani kerana ia mesra alam, mampu milik dan dikeluarkan sepenuhnya di dalam negara.

Ia membuktikan kemampuan tinggi tenaga kerja tempatan, termasuk majoriti anak Melayu dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga kerja Perodua, di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, pengeluaran EV tempatan bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran domestik, tetapi turut menjana pertumbuhan ekonomi dan menyokong aktiviti eksport.

“Apabila kita beralih kepada EV dan pengeluarannya dibuat secara tempatan, ini menambah nilai kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar telus kerajaan kini menarik minat pelabur antarabangsa, sekali gus membuka peluang luas kepada industri automotif Malaysia untuk menembusi pasaran luar.

Menurutnya, tumpuan Perodua terhadap penyelidikan, inovasi, latihan semula (reskilling), peningkatan kemahiran (upskilling) serta penerapan kecerdasan buatan (AI) adalah selaras dengan aspirasi negara menuju transformasi digital.

Perdana Menteri turut memuji kejayaan Perodua mengekalkan rekod harga berpatutan bagi setiap model keluarannya, mencerminkan tadbir urus korporat yang baik serta disiplin organisasi tinggi.

“Saya yakin dengan apa yang saya saksikan hari ini, reka bentuk modelnya menunjukkan kita mampu menghasilkan kereta buatan Malaysia sepenuhnya, berkualiti tinggi dan berpatutan,” katanya.