Permohonan jawatan tetap pegawai farmasi dibuka semula tahun depan

KUALA LUMPUR, 12 Disember – Permohonan jawatan tetap pegawai farmasi, akan dibuka semula tahun depan, sekali gus memberi peluang baharu kepada pegawai lantikan kontrak.

Kenyataan Kementerian Kesihatan memaklumkan, langkah berkenaan berikutan selesainya urusan pengambilan terkini yang menyaksikan hanya 600 perjawatan tetap diisi kerana jumlah kekosongan terhad.

“Baki pegawai farmasi kontrak tidak dapat diserap kerana tiada tambahan jawatan tersedia daripada perjawatan yang telah diluluskan.

“Turut disahkan status simpanan bagi calon telah luput pada Oktober lepas, selaras dengan prosedur pelantikan sedia ada,”kata kenyataan itu.

Pegawai farmasi yang layak, termasuk yang sebelum ini dalam senarai simpanan, dikehendaki mengemukakan permohonan baharu sebaik sahaja pengambilan diumumkan.

“KKM komited dengan perancangan tenaga kerja yang telus, berasaskan merit dan selaras dengan keperluan perkhidmatan serta kapasiti perjawatan yang diluluskan,”menurut kenyataan itu lagi.