Perlu RM3 bilion ganti paip usang di Pahang

KUANTAN, 12 Disember – Kerajaan Negeri Pahang memerlukan RM3 bilion bagi menukar paip usang yang menjadi punca utama hilang air secara fizikal.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, negeri itu mempunyai jajaran paip sepanjang 15,423 kilometer dengan 23 peratus daripadanya paip simen asbestos (AC) yang usang.

“Hajat kami di peringkat kerajaan negeri memang mahu menukar semua paip-paip usang ini sekaligus. Namun, untuk makluman, kos bagi menggantikan keseluruhan sistem tersebut dianggarkan mencecah sekitar RM3 bilion,” katanya yang memaklumkan pihaknya melaksanakan penukaran paip usang secara berperingkat.

Tambahnya, untuk tahun ini, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah menukar paip usang sepanjang 259.7 kilometer, termasuk di FELCRA Tembeling Tengah, Jerantut.

“Program penukaran paip usang yang lebih agresif tahun hadapan dengan pembinaan dan baik pulih District Metering Area (DMA) dan Pressure Management Area (PMA) yang membantu mengesan kebocoran secara lebih efisien,” tambah beliau pada sesi penggulungan Belanjawan Pahang 2026 Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Menyentuh isu NRW termasuk paip pecah, paip usang dan kehilangan air secara fizikal, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menurunkan kadar NRW pada tahap lebih baik dan berdaya saing.