KUALA LUMPUR, 14 Oktober –Aspek keselamatan terus diberi perhatian serius di semua pintu masuk negara walaupun Malaysia menyasarkan kemasukan 47 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu agensi-agensi khas yang ditugaskan di semua pintu masuk negara turut berfungsi memastikan proses semakan keselamatan pelancong antarabangsa dilakukan dengan lebih berkesan dan lancar.
“Kita ada agensi khas untuk percepat, permudah dan pastikan jadi lebih efisein seperti kita ada kod QR untuk rakyat Malaysia dan kita akan buat berperingkat untuk rakyat negara luar. Tetapi negara luar pun harus dipantau dari sudut keselamatan, sebab itu baru-baru ini apa disebut (kononnya) sebagai pelancong diminta keluar dan tidak dibenar masuk (ke negara).
“Sebab kalau rekod mereka ada jenayah dan diyakini ada rencana lain, pekerjaan dan sebagainya mereka diusir. Saya percaya beberapa kelemahan terus diperbaiki terutamanya adanya agensi-agensi khas,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemuka ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berhubung perancangan kerajaan di semua pintu masuk negara bagi menyambut sasaran 47 juta pelancong antarabangsa sempena TMM2026.
Bersempena kepengerusian ASEAN, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia bukan sahaja akan mendapat tumpuan pelancong dari negara serantau malah dari Amerika Syarikat, Latin Amerika, Afrika dan Eropah dan banyak lagi.

