KUALA LUMPUR, 22 November -Perkhidmatan tren Padang Besar–Hatyai yang dikendalikan State Railway of Thailand (SRT) dihentikan sementara susulan situasi banjir yang melanda bandar Hatyai.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi kaunter tiket bagi perkhidmatan Shuttle di Stesen Padang Besar turut ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
“Perkhidmatan tren MySawasdee di bawah kendalian KTMB juga tidak beroperasi minggu ini,” menurut kenyataan itu.
Hujan lebat luar biasa sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kawasan utama di Hatyai ditenggelami air, sekali gus mengakibatkan gangguan terhadap sistem pengangkutan dan menjejaskan ratusan pelancong, termasuk rakyat Malaysia.
KTMB memaklumkan bahawa perkembangan terkini berhubung operasi perkhidmatan akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi mereka.

