KUALA LUMPUR, 15 Disember -Perkhidmatan rehabilitasi kini diperluas ke 151 hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan akses rawatan menyeluruh kepada pesakit, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM turut menyediakan perkhidmatan kepakaran perubatan rehabilitasi di 33 hospital yang beroperasi secara kluster.
“Khidmat kepakaran rehabilitasi menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan dijangka diperluas meliputi kesemua 40 kluster hospital menjelang 2030.
Perkhidmatan ini termasuk Hospital Rehabilitasi Cheras yang diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan dan Pusat Rujukan Kebangsaan,” katanya di Dewan Negara.
Jelas beliau, hospital berkenaan dilengkapi peralatan berteknologi tinggi bertaraf antarabangsa, termasuk peranti robotik dua dimensi, eksoskeleton serta sistem latihan rehabilitasi berpandukan robotik.
Dalam usaha mendekatkan perkhidmatan rehabilitasi kepada komuniti, khususnya OKU, KKM turut memperkenalkan rawatan berkenaan di klinik kesihatan sejak 1996 sebagai sebahagian daripada peluasan penjagaan kesihatan primer.
“Sebanyak 50 klinik kesihatan dipilih pada peringkat awal bagi menyediakan intervensi awal dan perkhidmatan rehabilitasi.
Langkah itu menyokong agenda pendesentralisasian perkhidmatan kesihatan, supaya pesakit tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada rawatan di hospital besar,” ujarnya lagi.
Setakat ini, perkhidmatan rehabilitasi di klinik kesihatan merangkumi beberapa komponen utama.
Antaranya, 276 klinik kesihatan menyediakan perkhidmatan fisioterapi secara tetap, manakala 558 klinik menerima perkhidmatan fisioterapi melalui lawatan berkala.
Selain itu, perkhidmatan terapi cara kerja disediakan secara tetap di 289 klinik kesihatan, sementara 369 klinik menerima perkhidmatan tersebut melalui lawatan berkala.
Datuk Lukanisman berkata, perkhidmatan rehabilitasi di hospital dan klinik kesihatan bukan sahaja melibatkan rawatan dan pemberian ubat, malah membantu pesakit mendapatkan alat bantuan serta prostesis melalui peruntukan sedia ada mengikut tatacara ditetapkan.
Selain itu, Jabatan Rehabilitasi KKM turut berperanan merujuk pesakit kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan bagi mendapatkan pelbagai bentuk bantuan sokongan.
Antaranya termasuk Program PEKA B40, Tabung Bantuan Perubatan, saraan perubatan bawah Jabatan Perkhidmatan Awam, faedah caruman PERKESO, serta bantuan zakat Baitulmal dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi golongan layak.
Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen KKM dalam memastikan perkhidmatan rehabilitasi yang inklusif, berkualiti dan mudah diakses oleh seluruh rakyat.

