Pergiat R&D padi tahan cuaca ekstrem, kekal jamin bekalan makanan

KUALA LUMPUR, 17 Disember – Selaras usaha menghadapi risiko perubahan iklim dan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, kerajaan menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempergiat Inisiatif Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi membangunkan varieti padi yang berdaya tahan terhadap cuaca ekstrem.

“Kami akan mempergiatkan pelaksanaan Inisiatif Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). KPKM yakin strategi dan inisiatif yang sedang dijalankan ini mampu memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan, termasuk menghadapi gangguan global serta menangani risiko kesan perubahan iklim,” katanya ketika menjawab soalan Senator Dato C Sivaraj, di Parlimen.

R&D turut memfokuskan penerapan teknologi pertanian pintar iklim serta Sistem Amaran Awal Iklim, yang dapat memberi amaran kepada petani mengenai ancaman cuaca buruk, penyakit tanaman atau perosak sebelum berlaku kerosakan serius.

Ia antara strategi nasional di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025, bagi memastikan Malaysia tidak hanya bergantung kepada import, tetapi turut menjadi pengeluar makanan stabil dan mampan.