KUALA LUMPUR, 17 Disember – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menzahirkan penghargaan kepada rakan industri dan media atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda kebajikan pelajar menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Kasih UniMAP.
Majlis berkenaan menjadi platform pengiktirafan terhadap komitmen rakan strategik universiti yang sentiasa bersama UniMAP dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, sekali gus menyokong pembangunan pendidikan tinggi negara.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, sepanjang tahun ini universiti itu telah menerima zakat berjumlah RM1.11 juta.
Daripada jumlah itu, RM1.09 juta berjaya diagihkan secara menyeluruh dan bersasar kepada 10,343 pelajar melalui pelbagai skim kebajikan.
Menurut beliau selain agihan zakat, sokongan rakan industri turut membolehkan penyaluran pembiayaan pendidikan secara lebih berfokus melalui beberapa inisiatif utama, termasuk Program SULUNG dengan peruntukan RM549,910 yang memberi manfaat kepada 129 pelajar.
“Selain itu, Dermasiswa B40 TVET berjumlah RM277,600 diberikan kepada 381 pelajar, Biasiswa Sukan berjumlah RM48,675 kepada lapan pelajar, serta Biasiswa Yayasan Tenaga Nasional sebanyak RM5,000 seorang kepada 10 pelajar bagi sesi kemasukan 2025/2026.
“Malah, UniMAP turut melaksanakan pelbagai program kebajikan berimpak tinggi hasil sumbangan tersebut, antaranya Program Coffee-To-Go with HEPA yang menyantuni lebih 6,000 pelajar di lapan lokasi kampus, Food Kitchen UniMAP yang mengagihkan ribuan pek makanan percuma, serta Program Ziarah Kasih UniMAP yang dilaksanakan di lapan negeri melibatkan lebih 60 pelajar,” katanya.
Dalam majlis sama, UniMAP turut menyampaikan penghargaan kepada 18 rakan industri dan lapan agensi media yang berperanan sebagai rakan strategik dalam menyampaikan mesej keprihatinan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Peranan rakan media amat signifikan dalam membina kesedaran awam, memperkukuh kepercayaan masyarakat, serta menggalakkan lebih banyak pihak tampil menyokong inisiatif kebajikan universiti,” katanya.
Beliau juga berharap jalinan kerjasama bersama rakan industri dan rakan media akan terus diperkukuh demi kebajikan pelajar, serta pembangunan pendidikan negara secara berterusan.
Terdahulu, beliau melancarkan Buddy System UniMAP dalam usaha memastikan semua pelajar diberi peluang yang adil untuk berjaya.
Sistem ini yang juga dikenali sebagai Sistem Pembantu Pelajar ialah inisiatif sokongan rakan sebaya bagi membantu Pelajar OKU dan berkeperluan khas dalam aspek Akademik dan kehidupan kampus.

