IPOH, 10 Disember – Peranan wanita dalam penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin berkembang apabila pasukan itu kini mempunyai sembilan juruterbang wanita yang terlibat dalam operasi udara taktikal.
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, perkembangan itu membuktikan wanita mampu menggalas tugas berisiko tinggi dan setanding juruterbang lelaki dalam pelbagai misi udara.
Enam daripada juruterbang wanita itu merupakan peserta yang berjaya menamatkan Kursus Private Pilot’s Licence Bilangan 20 Siri 1/2023.
“Kehadiran juruterbang wanita ini membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas penerbangan dengan cemerlang, setanding juruterbang lelaki sekali gus mematahkan stigma bahawa profesion ini hanya untuk kaum adam”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus Lesen Penerbangan Persendirian (Private Pilot’s Licence) Bilangan 20 Siri 1/2023 (Helikopter) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh.
Kejayaan itu turut menunjukkan komitmen PDRM dalam memperkukuh kepakaran aset udara melalui penglibatan aktif juruterbang wanita dalam bidang penerbangan profesional.
Sementara itu, juruterbang PDRM, Muhammad Muzzamer Mohd Rasid, berkata latihan yang dijalani amat mencabar kerana kebanyakan peserta bermula tanpa sebarang asas penerbangan.
“Cabaran agak mencabar kerana kami bermula daripada kosong. Tiada pengalaman dan tiada pengetahuan tentang penerbangan. Dari mula kami penuh tekad kerana cita-cita kami dari kecil ingin menjadi seorang juruterbang”, katanya.
Manakala, juruterbang wanita Nur Izzati Bohari, menegaskan bahawa jantina bukan ukuran ketika mengendalikan pesawat.
“Tapi bila kita berada di dalam helikopter itu sendiri, kita bukan seorang wanita ataupun lelaki, kita adalah juruterbang. Pada masa itu dan pemikiran apa yang penting pada waktu itu adalah skill and knowledge bagaimana kita bertindak dan berfikir sebagai seorang juruterbang. Jantina kita letak di luar”, tegasnya.
Seorang lagi juruterbang PDRM, Mohammad Azim Fiqri Jamaludin, turut berkongsi bahawa akademik merupakan antara aspek paling mencabar dalam latihan PPL.
“Latihan di dalam penerbangan ini, kami boleh cakap fasa akademik itu bukan semua orang boleh harungi. Perlu bekerja keras, perlu membuat banyak latihan, membuat banyak soalan dan bila fasa penerbangan pula banyak persiapan yang perlu dilakukan”, ujarnya.
Seramai sembilan pegawai, termasuk tiga lelaki dan enam wanita, menjalani latihan lengkap bermula dengan akademik, ujian kesihatan dan latihan ketahanan sebelum lulus PPL Skill Test pada Oktober lalu.

