Peranan hakim bukan sekadar mengadili, tetapi membina negara

SHAH ALAM, 9 Disember – Hakim bukan sekadar menjadi pengadil pertikaian, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai pembina negara melalui tafsiran undang-undang dan keputusan kehakiman yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata proses mentafsir undang-undang bukanlah tugas mekanikal, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan, kepekaan terhadap konteks semasa dan pertimbangan terhadap kesan sosial yang lebih luas.

“Apabila seorang hakim mentafsir statut, beliau tidak sekadar membaca perkataan di atas kertas, tetapi menghidupkan niat penggubal undang-undang agar ia berfungsi dalam dunia sebenar. Undang-undang yang digubal berdekad lalu mesti mampu disesuaikan dengan perubahan teknologi, perkembangan masyarakat dan hubungan manusia yang semakin kompleks.

“Peranan hakim adalah memastikan undang-undang kekal relevan, selaras dan adil. Sesuatu yang memerlukan bukan hanya ilmu, tetapi juga kebijaksanaan,” beliau berucap dalam Sesi Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara anjuran Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, hari ini.

Tegas Datuk Seri Wan Ahmad Farid, undang-undang perlu dilihat sebagai instrumen hidup yang berkembang mengikut perubahan zaman, teknologi dan hubungan kemasyarakatan.

Dalam syarahannya, beliau turut menyentuh implikasi dasar dalam setiap keputusan kehakiman, termasuk bagaimana penghakiman mampu mempengaruhi norma sosial, hak individu, perniagaan serta kesejahteraan masyarakat.

Jelas beliau, hakim bertanggungjawab mempertimbang kesan praktikal sesuatu keputusan, bagi memastikan ia jelas, boleh dikuatkuasakan dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam sistem perundangan.

Syarahan perdana itu menghimpunkan seramai 444 pelajar tahun akhir Fakulti Undang-Undang, UiTM, warga akademik dan pengamal undang-undang sebagai usaha UiTM memperkukuh pendidikan perundangan serta sinergi bersama institusi kehakiman negara.