Perak teliti kaedah terbaik elak kehilangan hasil NR-REE

IPOH, 5 Disember– Kerajaan negeri Perak sedang memantau dan meneliti kaedah terbaik bagi mengelak hasil daripada projek unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri itu diekstrak secara haram.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemantauan tersebut perlu dilakukan berikutan proses mengeluarkan NR-REE tidak sukar sebagaimana melombong bijih timah.

Jelasnya, kerajaan negeri akan membangunkan langkah keselamatan melibatkan undang-undang serta akta bagi menghalang perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Kita sedang memantau, membina dan membangun langkah-langkah untuk mengesan perbuatan bagi menghalang mereka mengeksport.

“Kita juga akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan melibatkan undang-undang supaya kita boleh mengambil tindakan serta menghukum pihak tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan negara”, kata Saarani dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini.