KEPALA BATAS, 7 Disember – Penubuhan sebuah institut khas yang menghimpunkan pakar masakan Melayu dilihat sebagai langkah penting untuk memelihara, mengembangkan dan mewariskan khazanah kulinari negara kepada generasi muda.
Cef Selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan berpandangan langkah itu amat penting memandangkan jumlah pakar dalam bidang berkenaan semakin berkurang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan makanan warisan negara.
“Kita perlukan satu institut yang menghimpunkan chef berbakat untuk bekerja bersama dan memartabatkan makanan jalanan kita. Malaysia punya ramai chef hebat, tetapi mereka tidak akan berada di sini selama-lamanya.
“Apabila kita tiada nanti, siapa yang akan teruskan? Jika kita mahu meningkatkan sektor pelancongan, kita mesti ada sesuatu yang boleh dibanggakan bukan hanya hotel dan servis yang baik, tetapi juga makanan jalanan yang setara dengan imej negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas
Majlis Pelancaran Cafe Chef Wan Cawangan Pertama di Wilayah Utara di Bertam Resort and Waterpark di Bertam, di sini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Penyusutan bilangan pakar turut menjejaskan kualiti makanan tradisi yang dijual di jalanan, yang kini semakin jauh daripada standard asal.
“Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja menghilangkan keaslian rasa warisan bangsa, malah boleh merosakkan imej Malaysia sebagai destinasi kulinari yang kaya dengan identiti dan keunikan tersendiri,” katanya lagi.
Chef Wan turut menegaskan bahawa usaha memartabatkan kulinari Melayu tidak boleh dipikul secara individu, sebaliknya memerlukan komitmen bersama antara kerajaan, pemain industri dan generasi pelapis.
Dengan kerjasama tersusun, Malaysia berpotensi menjadi hab kulinari tersohor yang mampu menarik lebih ramai pelancong dan memperkukuh identiti warisan negara.

