Pengakap Malaysia siap siaga gerakkan skuad khas bencana bantu penduduk terjejas banjir

GEORGE TOWN, 29 November – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bersiap siaga untuk menggerakkan Skuad Khas Bencana bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin berkata, pihaknya sebelum ini juga sentiasa aktif memberi bantuan bersama agensi-agensi lain semasa bencana banjir.

“Di dalam negeri, sejak berpuluh tahun lalu, pengakap sentiasa mengambil bahagian dalam membantu mangsa banjir. Pengakap memainkan peranan penting semasa dan selepas banjir, dengan kumpulan-kumpulan yang bersedia di peringkat negeri, daerah, dan kampung.

“Beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Johor sentiasa bersiap sedia untuk menggerakkan anggota masing-masing. Baru-baru ini, kita juga telah menubuhkan satu pasukan bencana khas untuk menangani sebarang bencana di peringkat negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang Tahun 2025, di sini.

Majlis penganugerahan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Hadir bersama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Datuk Zulkafli Kamaruddin.

Turut diadakan Majlis Pemasyhuran Tun Ramli sebagai Penaung Pengakap Negeri Pulau Pinang.

Seramai 386 penerima menerima Bintang dan Pingat PPM dan negeri termasuk 14 penerima dari pengakap luar negara antaranya Taiwan, Hong Kong, Indonesia dan Thailand, manakala, 23 orang menerima Anugerah Sijil Pengakap Raja.