BALING, 13 Disember – 17 unit rumah ganti telah diserahkan kepada keluarga penduduk yang terlibat tragedi kepala air Sungai Kupang yang merupakan penduduk terjejas banjir puing Kampung Iboi, pada 4 Julai 2022.
Penyerahan kunci disempurnakan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Projek merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dilantik sebagai agensi pelaksana.
Rumah berkenaan lengkap dengan kemudahan infrastruktur.
“Saya melihat sendiri kediaman ini dan berpuas hati dengan kualiti pembinaan. Kediaman ini juga diharap memberi keselesaan serta keselamatan kepada penerima,”kata Datuk Seri Saifuddin selepas menyerahkan kunci rumah kepada penduduk terlibat.
Bagi penerima, sumbangan seperti ini sangat memberi makna.
“Rasa terharu menerima kediaman ini. Ketika hujan tiada lagi kerisauan untuk saya dan keluarga tambahan anak saya sehingga kini trauma jika melihat air besar,”kata Siti Hajar Said.
Bagi pembinaan kesemua 17 unit rumah baharu itu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta, manakala penentuan tapak perumahan diselaraskan Kerajaan Negeri dengan anggaran kos berjumlah RM600,000.

