Penduduk terjejas banjir di Mersing meningkat, PPS baharu dibuka

MERSING, 17 Disember -Satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Mersing dibuka tengah hari ini, bagi menempatkan 137 penduduk terjejas banjir di daerah itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding
20 penduduk pada 10.00 pagi tadi.

“Mereka ditempatkan di dua PPS di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar serta Sekolah Kebangsaan Chiao Ching. Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong di kawasan Endau, Mersing antara lokasi terjejas,” menurut jawatankuasa itu.

Kejadian dilaporkan bermula selepas limpahan sungai menenggelami lebih 10 unit rumah sejak tengah malam tadi.