Penduduk terjas banjir di Bintulu meningkat kepada 56

BINTULU, 9 Disember – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu meningkat kepada 56 orang daripada 14 keluarga setakat 4.00 pagi tadi.

Seorang mangsa dari Kampung Kemunting, Mattheus Albert Dundang, 31, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan rumah kerana air naik terlalu cepat sebaik tiba di rumah selepas pulang bekerja.

“Apabila saya pulang dari kerja, saya dapati air sudah naik dan barang-barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan lagi. Air naik terlalu cepat hingga semua tilam basah. Ia mula naik sekitar pukul 9.00 malam dan anggota bomba membawa kami ke PPS pada pukul 1.00 pagi,” katanya.

Penduduk Rumah Roslind, Rita Anak Satang, 56, pula memaklumkan hujan sepanjang hari menyebabkan limpahan air berlaku secara tiba-tiba.

“Semalam hujan sepanjang hari. Petang itu air pasang, kami tidak sangka ia naik begitu tinggi sehingga orang memberitahu kami. Kami keluarkan kereta ke tempat lebih tinggi dan kemudian berkemas dalam bilik. Takut perkara sama seperti sebelum ini berlaku, kami terus pindah ke jalan besar, dan syukur ada orang datang menolong membawa kami ke PPS,” katanya.

Seorang lagi penduduk Rumah Roslind, Kristina Anak Seh, berkata kejadian kali ini merupakan kali kedua keluarganya dipindahkan ke PPS yang sama.

“Ini kali kedua kami dipindahkan ke PPS. Sebelum ini semasa banjir besar, semalam malam kami berada di situ,” katanya.

PPS Dewan Suarah Bintulu dibuka sekitar 12.30 tengah malam selepas kawasan Kampung Kemunting dan Rumah Roslind Batu 8 dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Menurut pihak berkuasa, keadaan di PPS adalah terkawal dan selamat, dengan kehadiran petugas daripada APM, KKM dan PDRM. Semua mangsa turut menerima Kit Makanan Permulaan (KMP).

Perkembangan situasi banjir serta status PPS akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.