KUALA LUMPUR, 15 Disember -Pemuliharaan warisan sejarah dan seni bina negara perlu terus diberi keutamaan bagi memperkukuh jati diri nasional serta mendidik generasi muda memahami makna sebenar kemerdekaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha memulihara bangunan bersejarah seperti Seri Negara bukan sekadar mengekalkan struktur fizikal, sebaliknya merangkumi nilai sejarah, budaya dan perjuangan silam yang wajar dihargai rakyat.
Menurut beliau, kemerdekaan negara dicapai melalui perjuangan panjang yang menuntut pengorbanan besar generasi terdahulu.
“Di sebalik masa depan yang sering digambarkan sebagai cerah, terdapat sejarah yang penuh liku dan pengorbanan, dibayar dengan keringat, darah dan air mata.
Justeru, generasi muda wajar memahaminya agar lebih mengenali serta menginsafi peranan dan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menekankan konsep kenegaraan yang inklusif dengan memastikan bangunan warisan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Jelas beliau, bangunan bersejarah perlu berperanan sebagai ruang pembelajaran, pencerahan ilmu serta apresiasi seni dan budaya tempatan.
Beliau turut memuji pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan yang dijalankan secara teliti dan profesional.
Menurutnya, keseimbangan antara pembangunan moden, kemajuan teknologi serta pemeliharaan nilai seni dan budaya tempatan perlu terus dipertahankan.
Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri memaklumkan, Khazanah Nasional memperuntukkan RM600 juta bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata usaha pemuliharaan warisan di ibu negara bukan sahaja melibatkan Carcosa Seri Negara.
Menurutnya, ia turut merangkumi enam blok bangunan di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad.
Katanya, pelaburan bawah inisiatif Warisan KL bertujuan menggiatkan semula warisan ibu kota serta mentakrifkan peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi.
Carcosa Seri Negara dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan dijadikan kediaman rasmi beliau sejak 1904.
Bangunan bersejarah itu juga menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

