Pembubaran DUN Sabah buka lembaran baharu landskap politik

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini dilihat sebagai langkah penting yang membuka lembaran baharu dalam landskap politik Negeri di Bawah Bayu tersebut.

Menurut Penganalisis Politik, Dr Tawfik Yaakub, keputusan tersebut menandakan permulaan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17, tetapi juga mencerminkan kesuburan demokrasi di negeri itu yang sentiasa menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

“Ruang demokrasi yang terbuka luas ini perlu digunakan sebaiknya oleh semua pihak yang terlibat dalam sepanjang tempoh berkempen dan pilihan raya agar keharmonian, kedamaian dan keamanan yang sedang dinikmati rakyat di Sabah hari ini dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata ruang demokrasi terbuka luas perlu dimanfaatkan sepenuhnya semua pihak sepanjang tempoh berkempen agar keharmonian, kedamaian dan keamanan yang dinikmati rakyat ketika ini terus terpelihara.

Pendekatan politik matang dan saling menghormati antara parti serta calon bertanding amat penting bagi membolehkan rakyat membuat pilihan terbaik seperti mana disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Tawfik turut menyifatkan prestasi kerajaan negeri bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah sebagai cemerlang, khususnya dalam mengurus pelbagai situasi getir termasuk bencana alam serta isu-isu pembangunan, hasil daripada kematangan politik dan kepimpinan berpaksikan kebajikan rakyat.

Hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menjadi faktor utama dalam memastikan isu-isu berkaitan Sabah dapat diselesaikan secara berhemah, selaras dengan semangat politik matang berteraskan Malaysia MADANI.

Dengan pembubaran DUN Sabah, tumpuan kini beralih kepada persiapan menghadapi pilihan raya negeri, yang dijangka menjadi medan penting bagi menentukan hala tuju baharu kepimpinan dan pembangunan Sabah.