Pembenihan Awan berjaya hasilkan hujan lebat di Empangan Bukit Merah

SUBANG, 4 Ogos – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Empangan Bukit Merah, Perak hari ini berjaya menghasilkan hujan lebat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, operasi itu dilaksanakan bagi meningkatkan paras air di kawasan tadahan tersebut yang semakin kering susulan cuaca panas berpanjangan tanpa hujan. 

Empangan itu kini berada pada tahap amat kritikal dengan catatan paras air hanya 12.21 peratus atau pada kedalaman 19.8 kaki sebelum operasi itu dijalankan.

“Mengikut laporan diberikan di kawasan persekitaran terutamanya di sawah padi dan juga keperluan air domestik dilihat sangat memerlukan bantuan daripada NADMA bagi pembenihan awan dilakukan. Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga memperlihatkan keperluan permintaan.

“Laporan Met Malaysia menyebut, awan kumulus sedang bergerak dari arah barat iaitu di kawasan Selat Melaka untuk memasuki Semenanjung dan kebetulan kawasan tersebut mempunyai pergerakan awan. Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), hujan lebat telah berlaku, 40 minit selepas semburan dilakukan.

“Ini merupakan usaha saintifik yang dilakukan dengan pertolongan Allah SWT,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Subang selepas Operasi Pembenihan Awan di Empangan Bukit Merah di Perak. 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut berkesempatan menyertai operasi tersebut. 

Operasi pada hari ini telah menggunakan kaedah pembenihan basah menerusi penyemburan larutan garam (natrium klorida) ke dalam awan kumulus menara pada ketinggian antara 5,000 hingga 8,000 kaki. 

Proses ini dilaksanakan dengan teliti oleh pasukan MET Malaysia dengan sokongan logistik pesawat TUDM.

Beliau berkata, kegagalan menangani krisis ini dengan segera boleh memberi kesan berantai terhadap bekalan makanan, pendapatan rakyat luar bandar serta kestabilan ekosistem setempat. 

Ini memandangkan Empangan Bukit Merah bukan sekadar sumber air domestik untuk ribuan penduduk, malah turut menyokong pengairan sawah padi, perikanan, pelancongan serta fungsi mitigasi banjir.