KUALA LUMPUR, 8 Disember – Pembangunan pesat pusat data di negara ini, tidak akan mengakibatkan kenaikan tarif elektrik dan air kepada pengguna domestik.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika memberi jaminan itu di Dewan Negara memaklumkan kerajaan telah memperkenalkan struktur tarif baharu yang memastikan kos infrastruktur ditanggung pengendali pusat data, bukan rakyat.
“Dengan adanya kategori khas, kos-kos tambahan yang diperlukan bagi menyokong kemasukan pusat data bakal ditanggung pihak pemaju pusat data berkenaan.
“Langkah itu dapat mengelakkan berlakunya kenaikan bil elektrik pengguna lain terutamanya pengguna domestik disebabkan peningkatan pelaburan pusat data ke dalam negara,”katanya.
Beliau turut menjelaskan bagi memenuhi permintaan pusat data, pemaju juga akan membiayai naik taraf loji rawatan air bertujuan memastikan pertumbuhan sektor pusat data dapat terus menyokong ekonomi digital negara tanpa membebankan rakyat.

