Pemasangan Jambatan Bailey di Sungai Kaiduan, Papar disegerakan

PUTRAJAYA, 16 September – Jambatan Bailey akan dipasang segera di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah, selepas jambatan utama di kawasan itu runtuh akibat banjir.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja pemasangan perlu dipercepatkan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan jambatan berkenaan.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membekalkan tiga unit jambatan Bailey kepada kerajaan negeri tahun lalu bagi meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur ketika bencana.

“JKR Sabah juga sedang memberi tumpuan terhadap kerja baik pulih di Jalan Penampang–Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh, termasuk pembersihan runtuhan, penstabilan cerun, pembaikan jalan serta pembinaan semula jambatan gantung dan tembok penahan cerun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, NGO dan penduduk setempat turut menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, keperluan harian, selimut, tilam serta bantuan logistik bagi meringankan beban mangsa banjir.

Datuk Seri Ahmad Zahid memaklumkan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Halim Hamzah bersama Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab sudah berada di negeri itu bagi menyelaras pengurusan bencana.

Beliau turut mendoakan agar semua negeri yang terjejas banjir pulih segera.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera RM10 juta bagi membaik pulih kemudahan awam termasuk jalan kecil, sekolah dan klinik kesihatan di kawasan terjejas.