Pemandu maut lori langgar dinding jejambat

MUKAH, 17 Disember – Seorang pemandu lori maut dalam satu kemalangan jalan raya kendiri di Kilometer 80, Jalan Sibu–Bintulu berhampiran Selangau, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 pagi.

Jelasnya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditemui tersepit di dalam lori dan masih dalam keadaan sedar ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika lori yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Sibu menghala ke Bintulu.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dinding jejambat,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi menyelamat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangau sebelum mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 5 pagi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau akibat kecederaan parah di bahagian kaki kiri.

DSP Muhamad Rizal berkata, kemalangan berlaku di laluan jalan lurus satu hala dua lorong dengan keadaan permukaan jalan kering dan rata, namun pencahayaan di kawasan berkenaan adalah terhad.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.