KUALA LUMPUR, 11 Disember – Pelarasan gaji Fasa 2 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), bakal dilaksanakan pada Januari 2026.
Penjawat awam yang memilih sistem itu, bakal menerima pelarasan gaji tersebut dengan kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir 31 Disember 2025.
Timbalan Pengarah Dasar Gaji Bahagian Gaji dan Elaun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Shahir Shaari berkata, walaupun pelarasan gaji baharu berkuat kuasa pada 1 Januari, pembayaran hanya akan dibuat pada 22 Januari yang merupakan hari gaji bagi bulan berkenaan.
“Pelarasan gaji Fasa 2, adalah kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024 dengan kadar 15 peratus untuk Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P), serta tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT)
“Yang akan datang ini, penjawat awam (Kumpulan P&P), akan menerima lagi tujuh peratus, manakala KPT akan menerima pelarasan sebanyak tiga peratus lagi,” katanya dalam program audio siar, “Kenaikan Gaji SSPA 2.0: Apa Perlu Pegawai Awam Tahu” yang disiarkan di Facebook dan YouTube JPA, hari ini.
Pada fasa satu pelarasan gaji, kumpulan P&P telah menerima kenaikan lapan peratus, manakala KPT empat peratus yang dibayar pada Dis 2024.
Mohd Shahir berkata mereka yang tidak memilih SSPA serta tidak lagi berada dalam perkhidmatan kerajaan pada 1 Januari tahun depan, sama ada kerana bersara atau ditamatkan perkhidmatan sebelum tarikh tersebut, tidak layak menikmati pelarasan gaji tersebut.
“Bagaimanapun, untuk pegawai yang bersara pada 1 Januari, hari terakhirnya berkhidmat ialah pada 31 Disember. Jadi, 1 Januari tahun hadapan bukan hari terakhir dalam perkhidmatan, dia tidak dapat pelarasan gaji sebaliknya akan dapat pelarasan pencen.
“Untuk pegawai yang meninggal dunia pada 1 Januari dan tarikh itu merupakan hari terakhirnya dalam perkhidmatan, kita akan berikan pelarasan gaji pada 1 Januari dan kemudiannya akan buat pelarasan pembayaran pencen pada pewaris,” katanya.
Selain itu beliau menegaskan, penjawat awam yang menerima markah penilaian prestasi tahunan kurang daripada 75 peratus di bawah sistem MyPERFORMANCE, tidak akan terjejas daripada menerima kenaikan gaji pada bulan depan.
“Syarat utama untuk menerima pelarasan gaji Fasa 2 ialah penjawat awam mestilah menerima memilih skim SSPA dan berada dalam perkhidmatan awam pada 31 Disember tahun ini dan 1 Januari 2025.
“Pelarasan gaji tidak ada kaitan secara langsung dengan penilaian prestasi MyPERFORMANCE. Yang akan terkesan cuma dari segi pergerakan gaji tahunan. Markah minimum yang perlu dicapai untuk pegerakan gaji tahunan ialah 75 peratus.
“Jadi, penjawat awam pastikanlah untuk mendapatkan 75 peratus bagi penilaian prestasi di bawah MyPERFORMANCE. Jadi, penjawat awam akan dapat menerima manfaat pelarasan gaji Fasa 2 dan pergerakan gaji tahunan pun akan dapat juga,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penjawat awam untuk merujuk sumber sahih seperti jabatan masing-masing atau JPA, bagi mendapatkan maklumat tepat selain turut mengingatkan kakitangan awam agar meningkatkan prestasi dan mempamerkan kecekapan hasil kerja lebih baik berbanding sebelum ini.
Kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mei 2024 semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024.
Kenaikan gaji menerusi sistem SSPA ini merupakan antara yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

