Pelantikan Rider Gate sebagai ejen pemungut ikut prosedur – JPJ

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Pelantikan Rider Gate Sdn. Bhd., anak syarikat Ramssol Group Bhd, sebagai ejen pemungut dilakukan mengikut prosedur ditetapkan serta berdasarkan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, menjelaskan pelantikan ejen pemungut merupakan amalan biasa bagi memperluas akses perkhidmatan kepada orang awam dan hanya diberikan kepada syarikat yang memenuhi syarat.

‘Antara ejen sah sedia ada ialah POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn. Bhd., MyEG Services Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd., serta TNG Sdn. Bhd.

“Penambahan Rider Gate Sdn. Bhd. tidak menjejaskan operasi aplikasi MyJPJ yang kekal sebagai platform rasmi kerajaan bagi urusan digital JPJ. Semua perkhidmatan melalui aplikasi tersebut diteruskan seperti biasa,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

JPJ turut memaklumkan bahawa pelantikan ejen pemungut tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan dan bertujuan meningkatkan kemudahan serta keberkesanan saluran perkhidmatan kepada rakyat.

JPJ menegaskan komitmen untuk memastikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses melalui pemantauan berterusan terhadap semua ejen dilantik, selain menjamin integriti data dan keselamatan transaksi selaras dengan agenda pendigitalan sektor awam.