Pelancongan domestik catat lebih 260 juta pelawat pada 2024

SERDANG, 4 Oktober – Industri pelancongan domestik menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas merekodkan lebih 260 juta pelawat pada tahun 2024, meningkat 21.7 peratus berbanding 213.7 juta tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya mengukuhkan peranan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

“Pada 2024 kita mencapai 260 juta pelawat dan harapan kita untuk 2025, jumlah ini dapat meningkat kepada 280 hingga 300 juta, sekali gus merancakkan lagi pelancongan domestik.” katanya selepas melancarkan The Great Outdoor Expo 2025 with Karnival Cuti-Cuti Malaysia di MAEPS, di sini, hari ini.

Manoharan turut menyeru rakyat menghargai khazanah negara dengan melancong dalam negara, sekali gus membuka peluang komuniti, menyokong usahawan kecil serta mengangkat budaya dan identiti Malaysia.

Ekspo itu yang berlangsung serentak dengan Karnival Cuti-Cuti Malaysia menjadi platform utama memperkukuh hala tuju pelancongan berasaskan ekopelancongan dan rekreasi.

Lebih 200 gerai dan 100 pempamer menyertai ekspo tiga hari ini yang berakhir esok.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk panjat dinding, simulator pengembaraan realiti maya (VR), zipline, demonstrasi perkhemahan serta persembahan budaya, makanan warisan dan pakej pelancongan eksklusif.

“Program siri jelajah ini diteruskan selepas pembuka tirai di Kuantan, Pahang bulan lalu yang menerima sambutan menggalakkan”, katanya. 

Destinasi seterusnya adalah Sarawak di Plaza Merdeka, Kuching (17-19 Oktober), Gurney Paragon, Pulau Pinang (31 Okt-2 November), Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru (7-9 November), dan Sabah di Imago Mall, Kota Kinabalu (14-16 November), sebagai sebahagian promosi menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.