Pelaksanaan program dan perbelanjaan KKDW rekod pencapaian 95 peratus

IPOH, 16 Disember – Pelaksanaan program dan perbelanjaan pembangunan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merekodkan pencapaian sekitar 95 peratus, dengan sebahagian inisiatif tersebut mencatat pencapaian melebihi 97 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen tinggi bukan sahaja di peringkat kementerian.

Malah ia melibatkan kerjasama erat kerajaan negeri dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan program luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tahap pencapaian itu merangkumi pelaksanaan program serta inisiatif di bawah portfolio kementerian itu yang dijalankan dengan pemantauan rapi bersama kerajaan negeri.

“Faktor penentu yang kita perkenalkan daripada cara tersebut adalah sebanyak 42 dan pencapaian juga melebihi daripada 97 peratus.

“Ini membuktikan bahawa komitmen bukan sahaja di peringkat kementerian, tapi juga di peringkat exco kerajaan negeri sangat-sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCBLUB) yang ke-60, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan, mesyuarat turut bersetuju KKDW mengguna pakai sistem e-Penghulu yang dipelopori negeri Perak sebagai platform digital yang akan diperluaskan penggunaannya ke semua pejabat penghulu di seluruh negara.