KULIM, 24 November – Seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ditemukan lemas, selepas dilaporkan tergelincir dan hilang dibawa arus ketika beriadah di kawasan rekreasi Lata Sedim, Kulim, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.29 pagi melalui talian MERS 999 yang memaklumkan kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki.
Sebuah jentera FRT B1-168 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech bersama sebuah lori tiga tan dengan kekuatan lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 24 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, PBK II Marzuki Mohamed Nor, siasatan awal mendapati mangsa, Nor Aibil Hazimi Mansur, 21 tahun, ketika kejadian sedang bermandi-manda bersama tiga lagi rakannya.
“Menyedari keadaan sungai yang deras, pihak bomba memohon bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani untuk melakukan pencarian lebih menyeluruh,” tambah beliau.
Pada pukul 12.35 tengah hari, pasukan bomba menemukan Nor Aibil kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

