Orang ramai diingatkan waspada kehadiran obor-obor kotak di Langkawi

LANGKAWI, 19 November – Orang ramai yang menjalankan aktiviti riadah pantai di perairan Pulau Langkawi, Kedah dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan memakai pakaian bertutup keseluruhan.

Ia berikutan kehadiran obor-obor kotak atau “Box Jellyfish” di perairan pulau berkenaan.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, pihaknya menerima laporan kehadiran obor-obor kotak di sekitar kawasan perairan Langkawi sejak beberapa hari lalu.

“Pemakaian pakaian bertutup keseluruhan atau bersesuaian bertujuan untuk mengelakkan daripada terkena sengatan obor-obor kotak. Obor-obor kotak antara spesies obor-obor paling berbahaya di dunia.

“Sengatan sangat kuat dan mengandungi toksin neurotoksik serta kardiotoksik. Ia boleh menyebabkan kesakitan melampau, kegagalan jantung dan kematian dalam beberapa minit,” katanya menerusi kenyataan.