NIIF fokus pelaburan bernilai tinggi

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Pelancaran Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) pada suku pertama tahun depan, bertujuan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, NIIF dibangunkan berasaskan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) melibatkan pendekatan lebih strategik, khususnya dalam memperkukuh ekosistem industri tempatan dan rantaian bekalan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi

“Melalui NIIF atau kerangka baharu ini, kita tidak ingin lagi merebut apa sahaja yang ditawarkan dalam industri, sebaliknya ingin bersaing atas platform yang memberikan lebih nilai tambah. Saya jelaskan ini kerana Malaysia bukan ingin bersaing dengan Indonesia atau Vietnam. Kita tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Kepada syarikat yang ingin beroperasi di Vietnam atau Indonesia disebabkan faktor kos yang lebih rendah, kita tiada masalah. Kita tidak mahu menjadi satu tempat atau destinasi pelaburan yang hanya berasaskan kos. Kita tak nak.

“Kita ingin menghasilkan dan menjana aktiviti ekonomi untuk menambah nilai, untuk menawarkan pekerjaan yang lebih lebih baik dengan gaji yang setimpal. Kita ingin membangunkan kompleksiti industri kita. Itu adalah asas kita,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Edward Linggu Bukut semasa persidangan Dewan Negara.