Negeri Sembilan perhebat usaha tarik pelaburan asing dari China dan India

SEREMBAN, 11 Disember -Usaha menarik pelabur asing ke Negeri Sembilan terus dipergiat dengan tumpuan utama terhadap pelabur dari China dan India.

EXCO Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong berkata, beberapa misi galakan pelaburan ke Shenzhen dan Shanghai telah menunjukkan hasil memberangsangkan.

Antaranya, syarikat Antmed menyatakan komitmen pelaburan bernilai RM700 juta, manakala rundingan bersama Hunan Yuneng bagi projek berkaitan bateri litium ion turut melibatkan potensi pelaburan berjumlah RM1 bilion.

Pelaburan dari India pula diteruskan melalui Syarikat Recron dan kemasukan LRC Specialty Chemicals di Nilai.

“Daripada tempoh tahun 2020 hingga Jun 2025, pelaburan dari China mencatatkan jumlah sebanyak RM2.71 bilion melibatkan 18 projek ini berjaya membuka sebanyak 1,115 peluang pekerjaan, manakala pelaburan dari India dalam tempoh yang sama mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM22.81 juta yang melibatkan dua projek sahaja,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelabagai program seperti seminar pelabur, bengkel libat urus, sesi rundingan meja bulat, serta lawatan fasilitasi ke Syarikat dari China dan India yang beroperasi di negeri itu.

Program Fast Lane Negeri Sembilan bawah Invest NS turut diperkenalkan bagi mempercepatkan proses kelulusan pelaburan serta memudah cara operasi syarikat baharu.