MyNAP tingkat daya tahan negara hadapi banjir besar, cuaca ekstrem

KUALA LUMPUR, 15 Disember –Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) dibangunkan bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap perubahan iklim, termasuk menangani ancaman banjir besar serta perubahan corak cuaca ekstrem.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaksanaan MyNAP akan diselaraskan dengan dasar dan polisi sedia ada.

Antaranya ialah Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, Nationally Determined Contribution 3.0 (NDC 3.0) serta Fourth National Communication.

Menurut beliau, penetapan hala tuju MyNAP berasaskan pendekatan menyeluruh yang melibatkan keseluruhan jentera kerajaan.

“Hala tuju MyNAP dirangka berasaskan prinsip dan objektif strategik yang menyeluruh, dengan pendekatan ‘whole of government’ dalam perancangan pembangunan bandar serta pengurusan sumber air,” katanya di Dewan Negara.

Jelas beliau, kementerian dan agensi berkaitan telah melaksanakan beberapa langkah teknikal serta perancangan program bagi menangani risiko banjir besar dan cuaca ekstrem.

Ia meliputi kawalan pembangunan dan pengurusan kawasan tadahan lembangan sungai, kawalan guna tanah di kawasan berisiko, program pemuliharaan sungai serta kawalan hakisan pantai.

“Penumpuan turut diberikan kepada pengukuhan sistem ramalan dan amaran awal banjir, selain memperkukuh langkah mitigasi banjir,” katanya.

Datuk Seri Johari menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali berhubung hala tuju MyNAP dalam menangani ancaman banjir besar dan perubahan corak cuaca ekstrem di Semenanjung Malaysia serta Malaysia Timur.

MyNAP yang kini dalam peringkat pembangunan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2026.