MYMIKRO’25 perkukuh daya tahan kewangan, daya saing usahawan tempatan

KUALA LUMPUR, 16 September – Forum Usahawan Mikro Malaysia 2025 (MYMIKRO’25) dilancarkan bagi memperkukuh daya tahan kewangan dan daya saing usahawan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Azaddin Ngah Tasir dalam satu kenyataan memaklumkan, forum itu menghimpunkan usahawan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS), penyedia kredit, ahli akademik serta pihak berkepentingan lain untuk berkongsi pengalaman, cabaran, dan meneroka penyelesaian kolektif.

“Pelancaran tersebut bagi mengukuhkan peranannya sebagai agensi pemulihan kredit dan rakan strategik usahawan mikro dalam membina daya tahan kewangan.

“Literasi kewangan bukan sekadar kunci kelangsungan, tetapi pemangkin untuk menjadikan PMKS lebih berdaya saing, berdaya tahan, dan mampan dalam ekosistem ekonomi moden,” menurut kenyataan itu.

Selain pendidikan, AKPK turut menyediakan pelbagai intervensi bagi membantu PMKS mengurus cabaran kewangan.

Sehingga kini, lebih 5,500 PMKS telah menerima manfaat daripada program bantuan bayaran balik pembiayaan.

Pelancaran forum itu mengukuhkan peranan AKPK bukan sekadar sebagai agensi pemulihan kredit, tetapi sebagai rakan strategik usahawan mikro dalam membina daya tahan kewangan dan menyumbang secara berterusan kepada pertumbuhan ekonomi negara.