KUALA LUMPUR, 13 Disember – Kementerian Pertahanan menafikan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai kaitan dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai pada 26 Oktober lalu.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, MoU berkenaan bersifat tidak mengikat (‘non-binding’) daripada sudut perundangan dan telah dirundingkan sejak tahun 2020.
Kandungan MoU tersebut juga memberi tumpuan kepada aktiviti dua hala.
“Ia merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan dan eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan, serta bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama melalui ‘Malaysia-US Strategic Talk’ (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2008.
“Selain itu, pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara rakan adalah sebahagian daripada instrumen diplomasi pertahanan seperti yang digariskan di bawah Tonggak Ketiga, Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dilancarkan pada 2019, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri ketujuh.
“Selain AS, Malaysia juga telah menandatangani MoU Kerjasama Pertahanan dengan beberapa negara lain, termasuk China (2016), Jepun (2018), Lao PDR (2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) dan yang terbaharu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Disember lalu,” katanya menerusi kenyataan.
Pemeteraian MoU dengan negara-negara tersebut, termasuk AS, adalah selari dengan dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali serta menyokong komitmen negara terhadap deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dimeterai oleh negara-negara ASEAN pada 1971.

