MOT teruskan penguatkuasaan muatan berlebihan

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Penangguhan penguatkuasaan penuh terhadap kesalahan muatan berlebihan bukan pilihan selamat, susulan kadar kemalangan kenderaan berat yang masih tinggi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata pihaknya menghargai cadangan penangguhan enam bulan atau pelaksanaan berfasa, tetapi angka kematian membuktikan tindakan segera perlu diambil.

“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada 2024, 346 kematian direkodkan, 260 melibatkan lori dan 86 bas. Dari Januari hingga September 2025 pula, 260 kematian dicatat, 211 lori dan 49 bas.

“Ini jelas menunjukkan keselamatan kenderaan berat isu serius yang memerlukan tindakan tegas,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menambah, operasi ‘Perang Lebih Muatan’ mendapati 3,087 daripada 129,778 kenderaan diperiksa membawa muatan berlebihan, manakala 5,915 notis dikeluarkan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), mengesahkan kenderaan berlebihan muatan berisiko tinggi mengalami kegagalan brek, ketidakstabilan menuruni cerun, dan merosakkan jalan serta jambatan.