KANGAR, 17 Disember – Misi pasca banjir di Perlis terus digerakkan pelbagai pihak bagi menyantuni keluarga terjejas banjir, termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Perlis.
Misi julung kali dilaksanakan tersebut, menyantuni seramai 70 penerima sekitar di Kangar dan Arau dengan kerjasama persatuan dan pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan ROS Negeri, Mohd Khalil Mohd Hashim, penerima sumbangan yang terpilih berdasarkan data diberikan pertubuhan atau persatuan meliputi keluarga asnaf, juga mereka yang kehilangan ahli keluarga dan warga emas yang terjejas banjir baru-baru ini.
“Kami tidak mempunyai garis panduan khusus kerana jabatan ini bukan agensi yang mengawal selia bantuan berkenaan. Bantuan tersebut bukan disalurkan oleh jabatan, sebaliknya datang daripada pertubuhan-pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Pihak kami hanya memohon kerjasama secara sukarela daripada pertubuhan terbabit untuk menyalurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan,” katanya pada Program Santuni Kasih Pasca Banjir Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bersama Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis sekitar Taman Kemajuan, Kampung Bakau, Taman Desa Pulai dan Kampung Kubang Gajah.
Sementara itu, bagi Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis (PABNPs), Areff Affandy Ariffin, inisiatif bersama ROS itu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada keluarga terjejas banjir.
“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar, kami berperanan membantu menyalurkan sumbangan. Kami juga bernaung di bawah sebuah majlis, iaitu Majlis Kebajikan Masyarakat yang dipengerusikan oleh Exco Kebajikan Negeri Perlis.
“Oleh itu, peranan kami lebih tertumpu kepada usaha membantu mengagihkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Kelab Kebajikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bertindak sebagai penyelaras segala sumbangan yang disalurkan kepada penerima yang layak berdasarkan data diterima.
Setiap keluarga menerima sumbangan berupa keperluan harian dan saguhati dari Kelab Kebajikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis.

