KUALA LUMPUR, 12 Disember – Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam tempoh terdekat, bertujuan menilai situasi semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook menjelaskan selaku Pengerusi ASEAN, mesyuarat berkenaan, antara lain bagi memperkukuh peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau.
Beliau sebelum itu, menghubungi Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau ini.
“Saya turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal,”katanya.
Perdana Menteri turut yakin melalui dialog berterusan dan mekanisme sedia ada, isu berkenaan, dapat diselesaikan secara berhemah, tenang dan saling menghormati.

